Showing posts with label Cerita. Show all posts
Showing posts with label Cerita. Show all posts

Tuesday, 25 November 2014

Gambar Pokok Nibong Tunggal

Salam all.
Lama sungguh tak menulis dalam blog.

Ceritanya..
Pokok nibong orang tahu belaka, tapi amat jarang jumpa pokok nibong tunggal. Nibong ni ia tumbuh banyak-banyak, emm.. macam pokok tebu lah atau pokok pinang hiasan tu, banyak anak-anak pokok tumbuh di sekelilingnya.


Pokok Nibong yang 'normal' atau biasa di lihat

Bagaimana rupa-nya pokok nibong tunggal?
Tunggal bermakna ia tumbuh hanya sebatang sahaja, macam pokok kelapa. Hanya sebatang dan tanpa 'geng'. Gambarnya ada di bawah ni..


Pokok Nibong Tunggal
Nampak tak..sebatang kat tengah gambar tu.

Sebenarnya pokok ni terlindung, terlindung dari rumah aku dan hutan belukar. maknanya takde orang tahu kewujudan pokok tu kecuali keluarga dan sahabat handai aje..
Kat tepi tu pokok buluh duri, aku selalu juga cari rebung buluh duri. Tapi hutan belukar, masyaAllah.. tebal ooo. Tiga tahun lepas kami sekeluarga berabis RM1000++ untuk cuci hutang belukar ni, terbiar dan tumbuh semula la.
Tup-tup ada orang tawarkan harga sebab nak beli pokok nibong tu. Dia kata 'sebut je harga' dia nak bayar berapa saja. Kenapa la tak sebut RM10 juta..
Jadi, kami taknak jual lah pokok tu, sebab tahu dah, pembeli nak buat benda tahyul mahyul. Nak buat pendinding la, pelindung la, macam la Nabi dan Ulama' dulu-dulu dan Ustaz sekarang tak ajar ayat Quran untuk melindungi diri, keluarga, kampung etc3. Pokok nibong juga yang di harapkan.
Aku search dalam intenet ni, ada yg berharga RM30 untuk kepingan batang nibong tunggal bersaiz 2cm x 1cm. Perghh. Bayangkan, pokok yang setinggi bangunan 4 tingkat tu dengan ukur lilit hampir sebesar periuk nasi yang kecil. Kayo kawe kalu jual.. haha.

Hajat nak buat pelindung juga suatu hari nanti.. tebang pokok nibong tu, kerat se-meter setengah, tanam tepi sempadan tanah, lepas tu sangkut kawat berduri, jadi pelindung kepada lembu-lembu.

Waullahu 'Alam

Tuesday, 9 July 2013

Bina Rumah melalui Skim Pinjaman Perumahan (SPP)

Salam..

Saya baru mula buat rumah, melalui pinjaman SPP (bawah Jabatan Perumahan Negara - KPKT).

Skim Pinjaman Perumahan (SPP) untuk golongan berpendapatan rendah atau bekerja sendiri dengan pendapatan kurang dari RM 750 - RM 2,500 (kalau kurang memang layak dapat rumah free PPRT). Rumah ni keluasan dia tak boleh lebih dari 1000 kaki persegi. Pinjaman yg diluluskan ialah RM 45, 000.00 Samada nak guna plan yang Jabatan Perumahan bagi atau ada plan sendiri, dengan syarat :

  1. Plan rumah kos remdah, keluasan 700 - 1000 kaki persegi.
  2. Sekurang-kurangnya ada 3 bilik tidur, dua bilik air, dapur dan ruang tamu.
  3. Mendapat kelulusan majlis daerah atau pihak berkuasa tempatan (jika perlu)
  4. Kena lantik sendiri kontraktor yg akan bina rumah tu. Nak buat sendiri pun boleh, tapi sakit kepala la. baik serah kepada kontraktor. 
  5. Lain-lain syarat atau nak minta rumah jenis ni atau rumah-rumah jenis lain boleh rujuk sini : http://ehome.kpkt.gov.my
Lagi syarat ialah, laki bini atau laki bini bini (?) tak boleh kerja kerajaan (dua-dua) atau separa kerajaan (badan berkakun kot?).

Di tempat saya ni, rumah ini digelar Rumah KADA (Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan atau PPK), kerana apa-apa proses bermula dari ceramah penerangan, borang, tunjuk ajar hingga lantikan kontraktor pembinaan - semua pejabat PPK yang uruskan. Kita cuma serah sahaja, kad bank (yang SPP akan bank in duit) mereka pegang.

Kalau nak buat sendiri pun boleh, nak cari tukang sendiri, tapi duit kena ada la, sebabnya pegawai KPKT akan turun melawat ke tapak pembinaan mungkin setiap dua bulan sekali. Bila pegawai itu datang melawat tapak, mereka akan luluskan duit setakat peringkat-peringkat yg telah siap.

Peringkat tersebut ialah :

Peringkat I (10%): (Lulus RM 4,500.00)
Proses gadaian tanah telah selesai (Geran tanah disimpan di JKPTG)

Peringtat II (25%) : (Lulus RM 11,250.00)
Dibankin (25% ini) setelah kerja-kerja pembinaan asas dan rusuk tanah telah siap, kerja-kerja seperti pembersihan tapak, mengorek asas tapak, pembinaan asas tapak dan tapak tiang dan pembinaan rusuk tanah (bing).

Peringkat III (35%) : (Lulus RM 15, 750.00)
Kerja-kerja pembinaan rangka tetulang, lantai, dinding, rangka pintu dan tingkat telah siap.

Peringkat IV (25%) : (Lulus RM 11, 250.00)
Kerja-kerja pembinaan bumbung, kemasan lantai, dinding, pendawaian elektrik dan kelengkapan kebersihan. Kerja-kerja paip air, pembentungan, elektrik, mengecat, pasang pintu dah siap.

Peringkat V (5%) : Lulus RM 2, 250.00
Penyambungan bekalan air dan elektrik telah siap.

Selalunya rumah SPP ni siap dalam masa dua bulan sahaja (melalui kontraktor la). Pegawai yang melawat terus luluskan hingga peringkat V setelah melawat kali ke dua sebab rumah dah siap. Ok, sambung lain kali. Lepas ni nak letak gambar pula.

Wassalam...


Sunday, 24 February 2013

Hikayat Raja Dengan Pendayung Sampan


Cerita Rakyat Thailand yang dipetik dalam blog Cikguman.

------------------


Pada suatu hari raja dan beberapa menterinya mudik di sebatang sungai dalam sebuah perahu.

Setelah beberapa ketika dalam pelayaran tersebut semua menteri telah tertidur


Para pendayung yang melihat hal tersebut merasa jengkel lalu merungut sesama mereka.

"Tidur aje. Bukannya nak tolong dayung sama-sama." kata salah seorang daripada mereka.

Raja mendengar sungutan tersebut. Seketika kemudian, baginda memanggil pendayung yang merungut itu dan berkata:

"Beta dengar ada bunyi bising di tebing situ. Cuba kamu periksa." titah raja.

Si pendayung segera naik ke tebing untuk menyiasat. Seketika kemudian dia kembali dan memberitahu raja:

"Ada anak anjing, tuanku."

"Berapa ekor anak anjing itu?" tanya raja.

Si pendayung terpaksa naik ke tebing semula dan tidak lama kemudian dia kembali mengadap raja:

"Ada empat ekor, tuanku."

"Berapa ekor jantan dan berapa ekor betina?" tanya raja lagi.

Sekali lagi si pendayung terpaksa naik ke tebing.

"Dua ekor jantan dan dua ekor betina, tuanku." dia memberitahu raja sambil menahan lelah.

Raja mengejutkan salah seorang menteri dan bertitah:

"Ada bunyi bising di tebing tu. Pergilah siasat."

Menteri tersebut naik ke darat dan tidak lama kemudian beliau kembali.

"Beritahu beta apa yang kamu lihat?" raja bertitah.

"Patik dapati ada empat ekor anak anjing. Dua ekor jantan dan dua ekor betina. Patik cuba tinjau jika ada induknya di sekitar namun tiada. Pada pendapat patik anak-anak anjing tersebut bukan berasal dari situ sebaliknya ditinggalkan orang di situ. Itulah sebabnya mereka membuat bising kerana kehilangan induk dan juga lapar."

Raja berpaling kepada para pendayung. Baginda tersenyum sambil bertitah:

"......"

Kesudahan cerita itu, anda bolehlah tafsirkan sendiri apa yang dititahkan oleh Raja.

Sunday, 18 November 2012

Cerita Perihal Nafsu


Kalian kenal aku?

Tentulah kenal sebab aku bukan sahaja amat terkenal bahkan amat berkuasa.

Ada orang kata aku lah yang paling berkuasa di dunia ini.

Contohnya pada suatu hari aku ketemu seorang budak menangis kelaparan. Dia mengadu tidak ada sesiapa sudi membantunya. Dia menemuiku dan membawaku ke sebuah restauran terkemuka. Sebaik sahaja pengurus restauran itu melihatku, budak itu mendapat layanan seperti anak raja.

Pada suatu ketika yang lain aku bertemu seorang lelaki yang jatuh cinta dengan seorang gadis.Lelaki duda berusia 54 tahun itu membawaku menemui keluarga si gadis. Tidak lama kemudian mereka diraikan dalam suatu majlis perkahwinan yang gilang gemilang dengan hantaran RM999,999.99.

Aku ada pengalaman yang lebih hebat lagi.

Pada suatu hari seorang lelaki telah ditangkap kerana mengedar dadah. Jika sabit kesalahan maka ia akan dihukum gantung sampai mati. Keluarga lelaki itu membawaku menemui peguambela paling hebat. Tidak cukup dengan itu mereka membawaku bertemu hakim yang terbabit secara sulit.

Lelaki yang sepatutnya mati itu kini telah pun dibebaskan!

Ada juga kesah yang kejam. Aku dipertemu dengan seseorang pembunuh upahan. Aku pun bertukar tuan lagi. Keesokan harinya seorang lelaki ditemui mati dan aku pasti; aku lah juga penyebabnya.

Bukankah itu membuktikan aku amat berkuasa?

Baru-baru ini seseorang menemuiku. Tak perlulah kunyatakan lelaki atau perempuan.

Dia membawaku ke sebuah kedai alat komunikasi. Setelah berunding maka aku diserahkan kepada pemilik kedai dan orang itu pulang ke rumah dengan hati yang puas.

Beberapa bulan kemudian dia mencariku lagi. Dibawanya lagi ke kedai alat telekomunikasi yang lain pula. Aku dipertaruhkan dan orang itu tersenyum gembira mendapat telefon dengan aplikasi terkini.

Sekarang kulihat orang itu kembali gelisah. Sudah beberapa kali dia membelek-belek iklan telefon baru yang amat canggih. Aku tahu, dalam masa yang terdekat ini dia pasti akan membawaku ke mana-mana kedai yang sesuai dan aku akan bertukar tangan lagi.

Kini keyakinanku terhadap kehebatanku sudah tergugat. Nampaknya aku bukanlah yang paling besar atau paling hebat. Ada yang lebih kuat dari aku.

Kalian sudah tahu siapa aku? Ya, akulah yang digelar WANG dan kini aku sedar bahawa ada yang lebih berkuasa daripada aku di dunia ini.

Ku akui kini bahawa NAFSU dan keinginan manusia jauh lebih hebat daripada aku. Nafsu dan keinginan manusia lah yang membuatkan aku terpaksa bertukar pemilik saban waktu.

Kredit : Cikguman

Wednesday, 14 November 2012

Mengumpul Hadiah

Salam..

Bila buka business, sudah tentu ada supplier atau pembekal. maknanya abg Is ni dealer lah. Bila dah ada supplier lebih-lebih lagi syarikat besar, kalau oder banyak barangan, sudah tentu ada hadiah.

Hadiah yang paling saya suka :

No Satu (1):

Baucar KFC
Beli produk Canon, dapat Baucar KFC, tahun ni tidak sebanyak tahun lepas. Gambar atas adalah hadiah dari pembelian produk katrij Canon untuk akhir tahun ni. Hadiah ini saya tak simpan lah sebab ia ada tarikh luput. Yang atas tarikh luput ialah 30 Oktober lepas. Rasanya tahun ini dapat kumpul lebih kurang RM 150 sahaja, berbanding tahun lepas lebih dari RM200.

No Dua (2):


Mug hadiah dari Canon, Bekas air tu dari HP.
Dua-dua produk pembelian Katrij
Buat masa ini baru dapat kumpul 7 mug aje, dan 4 bekas air

Hujung tahun ni Canon bagi hadiah Mug pulak, sama aje gambarnya. Selalunya kalau akhir-akhir tahun, kalau produk Printer, Canon bagi hadiah payung Golf (Payung besar).

Beg CD, No Tiga (3):

Hadiah dari Produk HP, toner
 No Empat (4):

Katij juga rasanya. Atau printer.

Hadiah kecil-kecil, yang budak kepala besar tu ialah mini fan (HP), banyak dapat..tinggal dua eko aje, lain-lain bagi kepada pelanggan. Sama juga dengan calculator (Canon), Pengikat kertas (HP) dan bekas alat tulis (HP). Tisu dalam kotak (Abg Is dah guna..dah abis dah pun bagi technician buat servis printer).

Lain lain :

Pen drive - Saya jual hehehehe..
USB HUB (Canon) - bagi hadiah kepada pelanggan
Jam tangan Canon - bagi kepada pelanggan jugak
Baucar Mc D - tebus habis dah, macam KFC juga.

Ini aje yang dapat dikumpul buat masa ini. KFC dah habis dah, mug simpan, bekas air nak kasi budak-budak lah, buat bubuh bekal air pegi sekolah.

------------------
Update (14/11/2012)

Dapat lagi, 5 bekas air, tiga mug

Saturday, 10 November 2012

Sedut Air Paip Kerajaan

Salam..

Pelik tak? Orang sedut dari telaga, kat sini sedut dari batang paip besar.

Sebenarnya tak pelik. Krisis air kampung abg Is memang berpanjangan, rasanya bermula dari tahun 2006 masalah air menjadi semakin kritikal. Sebelum tu ok je, takde masalah. Mungkin bilangan pengguna bertambah dan sistem pengurusan yang masih lagi klasik dan tidak teratur serta bermasalah.

Pendek kata, kalau pulas paip memang kosong, takde apa-apa yang keluar. Kalau sebelah malam kena tunggu pagi baru ada air meleleh keluar dari kepala paip, tu pun paip yang paling bawah.

Enjin paip baru beli ni - Sabtu 10/11/12, RM150. Cap ayam. made in China
Kelmarin beli lah sebuah enjin paip untuk ganti enjin yang lama, rosak dah - dan ia memang berjasa lah, tak perasan pula yang baru beli ini berapa Watt, tapi watt tak penting, sebab abg Is cuma nak sedut dari batang paip aje, bukan dalam telaga. Kalau lagi sikit watt, lagi elok. Kalau watt tinggi, dikhuatiri boleh pecah batang paip.

Penerangan pemasangan :
1. Buat penyambungan selepas meter air, kalau sebelum meter - menjadi satu kesalahan dan berdosa la.
2. Batang paip (dari gambar atas) yang nampak buruk dan berlumpur tu dari meter air, bahagian itu ialah air akan di sedut. (IN).
3. Batang paip satu lagi tu (yang baru) ialah bahagian air keluar (OUT), yang ni akan sambung ke tangki air.

Cara sedut, sedut aje..macam biasa. Kena pastikan ada air dalam tangki enjin. Kalau sedut air tak keluar, yang keluar hanya angin..maknanya tiada air dalam batang paip besar. Matikan enjin sebab angin yang mengalir juga akan menyebabkan meter air bergerak. Takkan nak bayar bil angin!?

Satu lagi petua, tengok kepala paip yang paling rendah arasnya, kalau ada air menitik..itu bermakna air ada dalam batang paip besar, cuma tekanan yang rendah menyebabkan ia tidak dapat mengalir banyak ke paip bawah apatah lagi ke tangki, masa ni boleh ON enjin lah.

Okey..kalau tempat anda ada masalah air yang berpanjangan macam tempat abg Is, boleh share ide ni. Abg Is ambik dari ide orang kampung sebelah, mereka dah lama guna sistem ni..

Wassalam..

Lepaskanlah Dia Pergi

Salam..

Semenjak dua menjak ni kem bola Kelantan kecoh yang teramat bila Mat Yo nak berhijrah ke Johor. Bagi saya la, bagi lah pelepasan kepada dia, cukup-cukup lah dok main tarik tali. Lagipun Mat Yo dah lama dalam kem KAFA dan dia dah banyak menabur baktinya kepada negeri Cik Siti Wan Kembang ini. Sampai dapat tiga piala tahun ni.

Bagi la dia cuba angin baru, dengan pengurusan baru, peminat baru serta gaji lumayan yang baru. Kalau KAFA dok pegang Mat Yo atas alasan kontrak, kang dia main main-main, KAFA dan peminat juga rugi. Kalau awek kita dah taknak, tapi awek kita tu terpaksa bersama kita atas alasan 'makcik dia suka kita' contohnya, tak ada guna juga, buat sakit jiwa kita yang setia, tetapi dalam hal yang sama, awek kita tu dah ada boypren lain dah, dah lama dah ada boypren pon.

Pendek kata, lepaskan lah dia pergi.

KAFA katanya tengah pancing dua pemain Kedah.. elok tu. Apapun, akhir kata "Bolasepak Adalah Perniagaan". Kepada tan Sri Annuar, pengurusan anda memang ada umph! Lima tahun KAFA naik mencanak tinggi sampai baju bola Kelantan boleh buat baju raya lagi, orang tak malu dah nak pakai, bangga kalau dapat pakai baju TWR.

Tuesday, 23 October 2012

Kenapa Skrin Laptop Pecah?

Salam...

Peta Asia Timur? seperti ice berg dekat kutub utara. Ini dipanggil PB atau Pecah dan  Baling
Buka lappy, terpapar peta negara asia Timur berwarna hitam atau sedikit kelabu, masa laptop loading atau masuk ke desktop, peta itu tetap ada.

Sedikit kegetaran terasa di hati. Inikah yang dipanggil 'kegusaran'. Ku belai-belai lembut pada surface yang licin itu, tersentuh pada satu satu tempat, terasa 'cupingan' tajam. Oh..itulah yang dipanggil skrin pecah.

Pecahnya skrin laptop adalah disebabkan oleh faktor-faktor dari pengguna sendiri, iaitu kecuaian, kedegilan, kealpaan, keculasan, dan bermacam-macam lagi 'ke', dan sudah semestinya bukan dari kesilapan kilang kecuali semasa membeli anda sudah sedia maklum skrin itu pecah - jangan beli la!

Sebab yang paling banyak saya jumpa antaranya ialah:

  1. Ter-tinggal pen/pensil/pemadam yang di letak di atas pad laptop. Bila ditutup skrin cover tu, 'kruupp' (bunyi agak ngeri). Bila buka cover skrin dan ON laptop, ada setompok tanda hitam agak besar berbingkai-bingkai pada skrin. Sah dah kena tukar baru.
  2. Ter-tinggal fon telinga. Situasi sama dengan no satu di atas.
  3. Kabel external hard disk terjuntai di atas pad. Situasi sama juga lah.
  4. Ter-pijak. Memang jenis tak sayang la kalau tinggal atas lantai tu.
  5. Terjatuh. Selalunya kes tersepak kabel charger/adapter. Moral di sini ialah, jangan hadang/halang laluan dengan kabel chager/adapter anda. Masalahnya, kalau orang lain yang tersepak kabel dan lappy anda pecah skrin, dia yang kena ganti atas kecuaian anda. Jangan susahkan orang lain.
  6. Bag laptop yang sendat atau ketat. Skrin boleh pecah lebih-lebih lagi kalau ada chager di antara skrin dan body laptop. Seolah-olah skirn tersepit. Lebih-lebih lagi kalau andar bersandar atau ter-sandar pulak.
Pendek kata, kaorang jangan tinggal apa-apa benda hatta gumpalan tisu pun di atas pad tu.

Harga skrin LED HD 14.0" RM300.00, kalau 14.1" RM 350.00, kalau 10.1" RM 250.00, ini gred A+. Lawatilah web abg is : www.ibacom.comyr.com 

Wassalam..

Monday, 15 October 2012

Web Site.. baru siap 9.92 persen

Salam..

Ada member yang tanya, dia nak berniaga jersi bola serta baju sukan (import dari siam katanya), jadi saya syorkan tak perlu beli dan upah web master untuk buat web.

Hanya tiru macam saya, guna opencart. ianya percuma.
Download opencart skrip, upload dalam 000webhost. percuma jugak
Kalau nak lagi cun, domain tu guna Co.CC. percuma dan cantik jugak.

Kepada penjengok, boleh tengok web saya yang tak berapa hensem ini.

klik : http://ibacom.comyr.com/

Kenapa comyr.com - sebab hosting free..dia bagi nama yang tak cantik, nanti siap, nk beli domain dan hosting (berbayar) boleh letak nama www.ibacom.com.my.

Theme juga free..asalnya di download dari sini : http://themeglobal.com/opencart/themeglobal/
Guna opencart versi terbaharu, antaramuka berlainan tu sebab godek2 sendiri.

Boleh lah buat masa ini, jadi sapa2 nk beli Part Notebook atau Netbook, boleh oder dah.. Biz ni dah lama berjalan, tapi baru nk start buat web.. zaman online la katakan..

Wassalam...

Sunday, 10 June 2012

Pengembara Kambing dan Paderi


Suatu hari datang seorang cendekiawan kristian, yang ingin menguji keagungan dan kebenaran Tuhan yang disembah. Cendekiawan itu berjumpa dengan raja negara tersebut dan meminta kebenaran untuk berdebat dengan penduduk-penduduk di negara itu.

Pertaruhan yang telah ditetapkan oleh cendekiawan itu adalah, jika dia dikalahkan, dia beserta seluruh ahli keluarganya akan memeluk Islam. Sebaliknya jika dia menang, raja hendaklah memberi dia kekayaan dan kebenaran menyebarkan agamanya di situ. Dan syarat terpenting perbahasan ialah menggunakan bahasa isyarat. Kemudian raja pun bertitah mengumumkan pertandingan tersebut kepada rakyat dan barangsiapa yang kalah, dia akan dikenakan hukuman yang berat.

Setelah hampir waktunya, muncullah seorang pengembala kambing Islam yang ingin membela agamanya. Dengan berat hati,raja membenarkan kerana tiada siapa lagi yang berani menyahut cabaran itu. Pada hari pertandingan, rakyat berkumpul di padang yang luas dan gembala kambing didudukkan bertentangan dengan cendekiawan kristian.

Bermulalah soalan, cendekiawan menunjukkan satu jari kepada hadirin. Gembala kambing pula menunjukkan dua jarinya pada hadirin. Dan jawapannya betul!

Cendekiawan menunjukkan dua jari pula dan gembala kambing menunjukkan lima jari, jawapannya juga betul. Kemudian, cendekiawan menunjukkan lima jari, gembala kambing menunjukkan enam jari. Betul juga! Raja mula berfikir, hebat juga gembala kambing ini.

Cendekiawan yang tidak berpuas hati, membuat bulatan pada hadirin dengan tangannya, kemudian gembala kambing menunjukkan penumbuk tangannya. Betul lagi... Lalu cendekiawan tersenyum puas hati.

Cendekiawan mengeluarkan pedang dan halakan ke langit. Gembala kambing pula mengeluarkan pisau kontotnya, lalu dijunamkan ke bumi. Betul! Lalu cendekiawan menepuk tangan. Cendekiawan kemudiannya menunjukkan seekor ayam ditangan dan gembala kambing menunjukkan telur ayam di tangan. Betul...

Maka tamatlah sesi perdebatan. Raja amat berpuas hati dengan kepandaian gembala kambing. Cendekiawan itu mengadap raja, untuk menunaikan janjinya. Raja bertanyakan soalan dan jawapan perdebatan antara cendekiawan dan gembala kambing. Cendekiawan pun mula bercerita...

"Sungguh hamba akui kebesaran Tuhan, sehingga rakyat tuanku dapat menjawab dengan baik sekali. Sebenarnya soalan hamba, tunjuk satu jari bermakna adakah kalimah syahadah cuma yang pertama sahaja? (Asyhaduallah ilaha illallah...) Jawapan yang diberikan gembala kambing, dua jari.Jawapannya betul kerana sambungannya, (wa asyhaduan namuhammadarrasullullah)"

"Hamba tunjukkan dua jari, bermakna adakah rukun islam ada dua? Gembala kambing memberi jawapan, lima. Betullah... Bila hamba tunjukkan lima jari,maksudnya adakah islam setakat itu sahaja? Jawapan yang diberikan enam jari, sebab rukun iman ada enam."

"Bulatan pula bermakna siapa yang jadikan bumi? Gembala kambing |menjawab penumbuk, betullah sebab Allah yang Maha Berkuasa. Bila hamba |mengeluarkan pedang dan menunjuk ke langit, gembala kambing mengeluarkan pisau kontotnya dan menjunamkan ke bumi. Betullah... kerana Allah yang jadikan langit dan bumi."

"Ayam tu sebenarnya soalan bonus... apakah asal usul kejadian ayam itu Jawapannya telur... betullah...Sesungguhnya hamba amat berbesar hati dan akan mendalami islam sepenuhnya, serta menyebarkannya"

Raja tersenyum gembira mendengar soalan dan jawapan tersebut.Kemudiannya gembala kambing dipanggil untuk mengadap Raja, maka diberikan ganjaran yang telah dijanjikan. Dan bertanyalah Raja akan rahsia gembala kambing tersebut, adakah soalan itu dah bocor? Gembala kambing pun bercerita...

"Hamba sungguh tak puas hati betul dengan orang Kristian yang sombong itu.Dia tunjuk satu jari, maknanya dia nak kambing hamba satu. Jadi hamba menjawab, dua pun hamba boleh bagi. Dia tunjuk dua maknanya dia nak lagi dua pulak! Nak empat la maksudnya. Dan hamba jawab lima pun boleh.Kemudian dia tunjuk lima, maknanya takkan lima jea...? Oklah hamba boleh bagi enam pada dia."

"Lepas tu dia tunjuk bulatan, maknanya dia nak semua kambing hamba.Hamba pun tunjuklah penumbuk. Pas tu dia keluarkan pedang, wah wah... dia ingat orang kaya je ada pedang. Hamba pun tunjuk pisau kontot hamba.Sekurang-kurangnya hamba ada juga. Kemudian dia tunjuk ayam pulak!Amboi... mentang-mentanglah dia kaya, selalu makan ayam... Hamba pun mampu... walaupun hanya telur ayam. Tapi patik tetap bersyukur, kerana dia dah sedar dan nak peluk islam, sekurang-kurangnya dia takkan sombong dan bongkak lagi..."

Tergelak besar Raja mendengar penjelasan gembala kambing tersebut. Sungguh besar keagungan Tuhan... walau dengan cara apa sekalipun Islam dicabar dan dihina, Islam akan tetap terbela.

Sunday, 27 May 2012

Apa itu Nasi Besan?

Pejam celik pejam celik, musim cuti sekolah kembali dan yang paling sinonim dengan musim cuti sekolah ialah kenduri kahwin. Ada sesetengah 'pelatah' menggelar musim kahwin ni sebagai 'musim mengawan'. Ada yang nakal lagi berani memanggil musim ini sebagai musim orang berlaga pusat, hahaha..

Ada satu benda yang bebudak generasi X, Y dan Z tidak tahu malah mungkin ianya telah pupus dari kamus kenduri kahwin, iaitu Nasi Besan.

Nasi Besan,
Nasi besan ini hanya wujud ketika kenduri kahwin.

Cerita ringkasnya:

Nasi Besan ialah satu istilah nasi serta lauk pauk yang di isi didalam bekas yang digelar mangkuk tingkat, di negeri Cik Siti Wan Kembang, ia dipanggil Long Jok. Saya tak pernah lihat lagi Nasi Besan ini di isi dalam lain-lain mangkuk atau bekas. Gambar mangkuk tingkat ada di sebelah, gambar ihsan paripariputih.blogspot.com.


 Pada hari perkahwinan, pihak pengantin perempuan akan menyediakan lauk pauk untuk jamuan kenduri (selalunya lauk pauk untuk pihak rombongan pengantin lelaki adalah di masak khusus dan lauknya sedikit special). Maksud special disini ialah, jika lauk pauk untuk jamuan pihak pengantin perempuan adalah empat jenis, pihak pengantin lelaki akan di sediakan mungkin lima atau enam jenis lauk pauk termasuk pencuci mulut.

Pihak pengantin perempuan akan menghantar nasi dan lauk pauk ini (diisi dalam mangkuk tingkat) melalui wakilnya ke rumah pengantin lelaki. Di sini, pihak pangantin lelaki akan tahu apakah lauk pauk yang akan di hidangkan kepada mereka setelah sampai di rumah pengantin perempuan nanti (mereka perlu membawanya ke dapur dan membukanya). Gambar sebelah ihsan piecesoflin.blogspot.com.

Sampainya Nasi Besan ini di rumah pengantin lelaki adalah bermaksud pihak pengantin perempuan 'menjemput' pihak pengantin lelaki serta rombongannya ke rumah pengantin perempuan. Apabila Nasi Besan telah sampai dan dibuka, pihak pengantin lelaki perlu memberikan hadiah kepada wakil pengantin perempuan yang datang tadi. Selalunya hadiah tersebut berupa kain sarong (yang baru).

Bila wakil pengantin perempuan balik, maka rombongan pengantin lelaki bersama 'anak teruna' akan bergerak ke rumah pengantin perempuan.

Perlu diingatkan, Nasi Besan hanya di hantar jika tempat tinggal antara kedua-dua ibubapa mempelai adalah berdekatan. Jika mereka berjauhan, selalunya Nasi Besan ini di beri kepada ibubapa/wakil pengantin lelaki, apabila rombongan akan bertolak balik.

Wujudkah tradisi Nasi Besan di tempat anda?
Di tempat saya ianya masih ada dan di amalkan.

Kesimpulan :
1. Nasi Besan adalah menu atau lauk pauk yang bakal dinikmati oleh rombongan pengantin lelaki di rumah pengantin perempuan.
2. Nasi Besan yang di hantar adalah sebagai tanda pihak pengantin perempuan menjemput pengantin lelaki dan rombongan ke rumah mereka.

Waullahu 'Alam.

Jika ada kesempatan masa, saya mahu cerita istilah Ngele dan Ngenal, semua ini dalam bab kenduri kahwin di Kelantan dan sekitar negeri Terengganu.