Sunday, 18 November 2012

Cerita Perihal Nafsu


Kalian kenal aku?

Tentulah kenal sebab aku bukan sahaja amat terkenal bahkan amat berkuasa.

Ada orang kata aku lah yang paling berkuasa di dunia ini.

Contohnya pada suatu hari aku ketemu seorang budak menangis kelaparan. Dia mengadu tidak ada sesiapa sudi membantunya. Dia menemuiku dan membawaku ke sebuah restauran terkemuka. Sebaik sahaja pengurus restauran itu melihatku, budak itu mendapat layanan seperti anak raja.

Pada suatu ketika yang lain aku bertemu seorang lelaki yang jatuh cinta dengan seorang gadis.Lelaki duda berusia 54 tahun itu membawaku menemui keluarga si gadis. Tidak lama kemudian mereka diraikan dalam suatu majlis perkahwinan yang gilang gemilang dengan hantaran RM999,999.99.

Aku ada pengalaman yang lebih hebat lagi.

Pada suatu hari seorang lelaki telah ditangkap kerana mengedar dadah. Jika sabit kesalahan maka ia akan dihukum gantung sampai mati. Keluarga lelaki itu membawaku menemui peguambela paling hebat. Tidak cukup dengan itu mereka membawaku bertemu hakim yang terbabit secara sulit.

Lelaki yang sepatutnya mati itu kini telah pun dibebaskan!

Ada juga kesah yang kejam. Aku dipertemu dengan seseorang pembunuh upahan. Aku pun bertukar tuan lagi. Keesokan harinya seorang lelaki ditemui mati dan aku pasti; aku lah juga penyebabnya.

Bukankah itu membuktikan aku amat berkuasa?

Baru-baru ini seseorang menemuiku. Tak perlulah kunyatakan lelaki atau perempuan.

Dia membawaku ke sebuah kedai alat komunikasi. Setelah berunding maka aku diserahkan kepada pemilik kedai dan orang itu pulang ke rumah dengan hati yang puas.

Beberapa bulan kemudian dia mencariku lagi. Dibawanya lagi ke kedai alat telekomunikasi yang lain pula. Aku dipertaruhkan dan orang itu tersenyum gembira mendapat telefon dengan aplikasi terkini.

Sekarang kulihat orang itu kembali gelisah. Sudah beberapa kali dia membelek-belek iklan telefon baru yang amat canggih. Aku tahu, dalam masa yang terdekat ini dia pasti akan membawaku ke mana-mana kedai yang sesuai dan aku akan bertukar tangan lagi.

Kini keyakinanku terhadap kehebatanku sudah tergugat. Nampaknya aku bukanlah yang paling besar atau paling hebat. Ada yang lebih kuat dari aku.

Kalian sudah tahu siapa aku? Ya, akulah yang digelar WANG dan kini aku sedar bahawa ada yang lebih berkuasa daripada aku di dunia ini.

Ku akui kini bahawa NAFSU dan keinginan manusia jauh lebih hebat daripada aku. Nafsu dan keinginan manusia lah yang membuatkan aku terpaksa bertukar pemilik saban waktu.

Kredit : Cikguman

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda agar saya tidak kesorangan.. hehehe. Silakan, tapi komen elok-elok aaaaa...